Jom berbuka puasa di Dataran Merdeka!!!!. Pengalaman berbuka puasa sambil menikmati keindahan kota Kuala Lumpur dalam remang senja pastinya pengalaman yang berbeza bukan? Melalui Iftar@Kuala Lumpur 2018, bulan Ramadan dijadikan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam memupuk nilai-nilai murni terutama masyarakat kota. Pengalaman tersebut juga telah menarik kehadiran pengujung tempatan dan antarabangsa sejak Iftar@Kuala Lumpur dilaksanakan enam (6) tahun yang lepas yang pada mulanya dilaksanakan 2012 - 2014 menerusi program Festival Ramadan dan dijenamakan semula Iftar@KL pada 2015.
Percaya atau tidak, aktiviti ini berjaya menarik kehadiran khalayak keseluruhannya seramai 17,250,600 orang khalayak; merangkumi khalayak di lokasi, khalayak media, paparan blog dan media sosial oleh para blogger yang menulis tentang Iftar@KL 2016. Manakala kehadiran pelancong tempatan berjumlah 66,080 orang manakala seramai 16,520 orang kehadiran pelancong luar negara yang terdiri dari pelancong timur tengah, negara Asean, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat serta Perancis. Manakala Iftar@KL 2017 pula menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung sepanjang enam (6) hari setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadan ialah seramai 93,588 orang pengunjung termasuk pengunjung luar negara seperti Brunei, Thailand, Singapura, Indonesia, Kazakhstan, Korea Selatan, UAE, dan Kanada.
Bagi tahun ke-7 ini, Iftar@Kuala Lumpur 2018 yang akan berlangsung di bulan Ramadan 1439H sebanyak enam (6) kali pada tarikh 26&27 Mei, 2&3, 9&10 Jun 2018 (Setiap Sabtu dan Ahad) di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad).
Minggu Pertama 26&27 Mei 2018
Minggu Kedua 2&3 Jun 2018
Minggu Ketiga 9&10 Jun 2018
Urus setia telah berusaha melakukan penambahbaikan penganjuran yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Iftar@KL 2018 bertujuan untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda serta memupuk nilai-nilai murni melalui penganjuran aktiviti. Urus setia berusaha membawa Iftar@KL 2018 sebagai satu program keperluan pelancongan secara islamik dan platform menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni dan Budaya di peringkat Antarabangsa.
Selain itu, ia bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan-amalan kebajikan di samping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum. Melalui program seumpama ini, umat Islam digalakkan untuk mengejar ganjaran dan kenikmatan bulan yang penuh berkat.
Kelainan pengisian IFTAR@Kuala Lumpur 2018, sebanyak lima belas (15) komponen pengisian aktiviti berbanding empat belas (14) aktiviti pada tahun 2016 & 2017 yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama Rakan Pengajuran Bersama (NBOS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia serta pelbagai agensi iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Jamek Kampong Bharu, Alam Flora, Food Truck Entrepreneurs dan Sukarelawan Budaya JKKN serta Voluntourism di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Pelbagai program/aktiviti yang akan diadakan sepanjang Iftar@Kuala Lumpur
1. Penyediaan & pengagihan bubur lambuk
2. Pameran bubur lambuk
3. Tadarus Al-Quran
4. Sukarelawan & Voluntourism
5. Klinik Tahsin Al-Quran
6. Perkhidmatan kepada rakyat
7. Majlis berbuka puasa (Iftar)
8. Solat berjemaah (Maghrib,Isyak& Tarawih)
9. Tazkirah Ramadan
10. Kaunter Zakat
11. Kaunter Sumbangan
12. Jualan makanan foodtruck
13. Moreh
14. Bicara Ramadan
15. Konsert Ramadan
Melalui program ini juga, akan dihiburkan oleh Kumpulan Nasyid terkenal Tanah air iaitu Kumpulan Hijjaz, UNIC, Raihan dan artis-artis nasyid yang lain manakala penceramah terkenal akan dijemput untuk memeriahkan program sepanjang iftar@Kuala Lumpur 2018 berlangsung.
Selain program/aktiviti tersebut terdapat juga slot Bicara Ramadhan & Konsert Ramadan akan diadakan.
Bicara Ramadhan
1. 26 mei 18(sabtu) 9.30 mlm hingga 10.30 mlm - Shahibul Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohammad All Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan)
2. 2 jun 18 (sabtu) 9.30 mlm hingga 10.30 mlm - YBhg Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila bt Nik Saleh
3. 9 jun 18(sabtu) 9.30 mlm hingga 10.30 mlm - YBhg Datuk Ustaz Kazim bin Elias
Konsert Ramadan
1. 27 mei 18 (ahad) 9.30 mlm hingga 10.30 mlm - Sharifah Khasif Fadzilah Sued Badiuzzaman & Kumpulan Raihan
2. 3 jun 18 (ahad) 9.30 mlm hingga 10.30 mlm - PU Azman Dan Kumpulan Unic
3. 10 jun 18(ahad) 9.30 mlm hingga 10.30 mlm - YBhg Dato' Dr. Hj Mohd Fadzillah Kamsah & Kumpulan Hijjaz
"Mari sama-sama menghayati ibadah puasa dengan pelbagai program berfaedah bagi mengimarahkan bulan yang penuh berkat ini di samping merapatkan hubungan sesama kita".
Jom bersama-sama menyertai kami sebagai Sukarelawan Budaya JKKN serta Voluntourism di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Sertai kami pada 26&27 mei 18 juga 2,3,9&10 jun 18 bermula 2.oo petang hingga 11 malam. Daftar sekarang di http://www.jkkn.gov.my/en/jkkn-volunteer-registration.
0 Comments